Benarkah penyandar kepala pada kerusi kereta boleh pecahkan tingkap jika berlaku kecemasan?

TAHUKAH ANDA!! Alat penyandar kepala pada kerusi kereta sengaja dibuat agar boleh dicabut dan digunakan untuk memecahkan tingkap kereta untuk menyelamatkan diri ketika berlaku kecemasan. Betul atau sekadar maklumat palsu yang disebarkan di lelaman media sosial?
Sejak akhir-akhir ini, tersebar di media sosial maklumat tentang tempat sandar kepala pada kerusi kereta yang dikatakan sengaja direka mudah dicabut bagi kegunaan semasa kecemasan seperti dalam gambar di bawah ini.

Mesej-mesej tersebut mula viral di laman Facebook pada bulan April tahun ini tetapi sebenarnya “tip kecemasan” itu sudahpun wujud sejak beberapa tahun lalu dan pernah ditunjukkan cara-caranya menerusi catatan-catatan blog, menurut laman Snopes.com.
Namun, ia semakin popular pada tahun 2012, setelah ditampilkan dalam satu rancangan permainan Jepun, yang videonya dimuat naik di laman YouTube.

Meskipun tempat sandar kereta itu boleh dicabut dan digunakan sekiranya berlaku kecemasan, ini hanyalah kebetulan dan bukan kerana ia sengaja direka bagi tujuan tersebut, lapor laman Snopes.com.
Jika dirujuk kepada laporan oleh Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Negara Amerika Syarikat (NHTSA), fungsi utama tempat sandar kepala adalah sebagai sebahagian daripada sistem yang membantu menahan kepala pemandu atau penumpang kereta.
Tempat sandar kereta itu amat penting bagi mencegah atau mengurangkan kesan kecederaan leher akibat tersentap oleh pergerakan kereta sekiranya berlaku perlanggaran, sekaligus menyelamatkan saraf tunjang.
Laporan NHTSA setebal 10 muka surat itu, yang menjelaskan tentang fungsi dan reka bentuk tempat sandar kepala pada kerusi kereta, langsung tidak menyentuh tentang kegunaannya untuk memecahkan tingkap kereta.
Piawai Keselamatan Kenderaan Bermotor Persekutuan AS 202, juga tidak menetapkan agar syarikat pembuat kenderaan menghasilkan tempat meletak kepala khusus untuk memecahkan tingkap jika berlaku kecemasan.
TINGKAP KERETA TIDAK MUDAH PECAH
Laman Car Seat Blog, yang menerangkan secara terperinci tentang perkara ini, menekankan bahawa tingkap kereta tidak sama seperti tingkap-tingkap lain malah ia tidak mudah dipecahkan memandangkan ia direka untuk memastikan pemandu atau penumpang tetap berada di dalamnya jika berlaku kemalangan.
Laman tersebut menambah, bahawa tingkap bahagian tepi kereta diperbuat daripada kaca jenis ‘tempered’ yang kuat dan tidak mudah dipecahkan. Ia juga antara lima dengan 10 kali lebih kuat berbanding kaca biasa.
Sekalipun begitu, bahagian tepi kaca tingkap itu masih boleh diumpil dan mudah dipecahkan dari dalam kereta.
Maka, penggunaan tempat sandar kepala pada kerusi untuk memecahkan tingkap kereta adalah satu kebetulan dan bonus bagi para pemandu dan penumpang ketika berlaku kecemasan.
Sumber: FB

0 comments:

 

Copyright © 2010 • .: S i r a p B a n d u n g :. • Design by Dzignine, Blogger Blog Templates