“ADALAH kita Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi, bahawa kita mengaku memerintah negeri Perak Darul Ridzuan dan sekalian takluk jajahannya menurut Perlembagaan Perak dengan adil mengikut hukum Allah.”
Demikian lafaz sumpah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika dimasyhurkan sebagai Sultan Perak Ke-35 menggantikan Almarhum ayahanda baginda, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah yang mangkat.
Merenung sejenak biodata baginda, Sultan Nazrin yang diputerakan pada 27 November 1956 mula melangkah dalam hierarki kesultanan Perak apabila dimasyhurkan sebagai Raja Kecil Besar Perak pada 16 Februari 1984.
Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Perak pada 15 April 1987. Setelah kemangkatan ayahanda baginda pada 28 Mei 2014, Dewan Negara Perak mencapai kata sepakat Sultan Nazrin sebagai Sultan Perak Ke-35 dengan gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda seterusnya dimasyhurkan sebagai Sultan pada 29 Mei 2014 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Dikenali sebagai seorang sultan berpendidikan tinggi, Sultan Nazrin memulakan alam persekolahan di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur sehingga darjah lima dan menyambung pendidikan rendah dan menengah rendah dari darjah enam hingga tingkatan dua di Sekolah St. John, Kuala Lumpur.
Pada usia 13 tahun, baginda berangkat ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajian di The Leys School, Cambridge.
Baginda kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Universiti Oxford, diikuti dengan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik Ekonomi dan Kerajaan daripada Universiti Harvard.
Ini sekaligus menjadikan baginda Sultan pertama mempunyai PhD.
Selain itu, baginda adalah Fellow Kehormat Worcester College, Universiti Oxford dan juga Magdalene College, Universiti Cambridge; Ahli Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Felo Diraja Institusi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Malaysia Institute of Defense and Security); Felo Diraja Institut Kajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa Malaysia (Institute of Strategic and International Studies); Felo Diraja Institut Keselamatan Awam Malaysia dan Penaung Diraja kepada Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia.
Dengan latar belakang pendidikan yang hebat, tidak hairanlah baginda sering diundang untuk menyampaikan ucaptama di majlis-majlis dalam dan luar negara.
Daulat Tuanku!
from Syahril A. Kadir http://ift.tt/2qV9QEM
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment